Thursday, July 13, 2006

6 PersOaLan Hidup


Oleh: Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.
Lalu Imam Al Ghazali bertanya, pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)


Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid -muridnya ada yang menjawab negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahwa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu" (Al A'Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan Solat. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan sesuka hati menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Renungkanlah...

Wednesday, June 28, 2006

sambungan yang lepas...

Fitnah Kubur


Kubur adalah tempat tinggal terakhir bagi manusia setelah matinya, dan dinamai juga Jadath, seperti firman Allah dalam surah Yassin maksudnya “ dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila yang berlaku demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing mengadap Tuhannya.” (36:51)

Allah telah memberikan petunjuk kepada anak Adam yang pertama Qabil melalui burung gagak cara menanam adiknya Habil setelah ia dibunuh. Ketika Qabil memikirkjan cara mengubur sambil duduk menangis, maka burung gagak itu telah memperlihatkan cara untuk mengebumikan mayat saudaranya itu setelah terlebih dahulu berkelahi dengan gagak yang lain.

Maka Qabil melakukan sepertimana yang dilakukan oleh burung gagak dan dari situlah kita semua mengetahui sunat dan cara untuk menanam mayat dalam kubur. Firman Allah dalam Surah ‘Abasa maksudnya “ kemudian dimatikannya lalu diperintah supaya ia dikuburkan.” (80:21)

Ayat tersebut bermaksud menjadikan kubur itu sebagai penghormatan orang yang mati tidak seperti orang yang melemparkan mayat ke tanah hinggakan dimakan burung Gagak atau binatang buas yang lain..

Kubur atau alam barzakh menjadi marhalah pertama daripada marhalah-marhalah menuju negeri abadi. Sekiranya seseorang manusia itu sewaktu hidupnya sebagai seorang yang baik, maka alam kubur menjadi satu taman daripada taman-taman syurga baginya. Perkara yang terjadi selepasnnya merupakan perkara yang lebih baik, lebih indah, lebih rahmat dan kebahagiaannya.

Sekiranya ia kafir atau munafik pula, maka kubur menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Perkara yang terjadi selepasnya merupakan perkara yang lebih buruk, lebih dashat azab siksaannya dan lebih celaka lagi berbanding apa yang dialaminya di dalam kubur.

Pernyataan ini menunjukkan bahawa bagi seseorang mukmin mereka ini akan merasai nikmat kubur sedangkan bagi orang kafir dan munafik mereka akan merasai pedihnya azab kubur.


bersambung....

Thursday, June 22, 2006

Azab Kubur dan Persoalan-Persoalannya Menurut al- Sunnah


Bahagian Satu


Dalam al- Quran dan al-Sunnah Rasulullah telah diterangkan bahawa kita yang telah dihidupkan di alam fana ini akan melalui empat persinggahan atau destinasi iaitu alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat. Hidup bagaikan sebuah pengembaraan dalam menuju destinasi terakhir. Setiap langkah yang diayun merupakan bekal untuk dinilai dihadapan Allah.

Kematian adalah suatu kemestian, datangnya dengan tiba-tiba dan tidak pernah diundang. Setelah jasad terpaku kaku, roh akan meneruskan kehidupannya di alam kubur yang merupakan alam penantian menuju alam akhirat. Alam dunia adalah pinjaman daripada Allah S.W.T kepada manusia untuk melakukan segala ibadat dan suruhan-Nya sebagai hamba dan segala perbuatan serta ibadah kita di dunia ini merupakan jambatan menuju akhirat.

Setelah seseorang manusia itu diberi peluang untuk hidup dengan melakukan dan menunaikan tanggungjawab terhadap agama, akhirnya seseorang itu pasti akan mati. Kematian bukanlah satu kebinasaan yang terus dan kekal bagi manusia. Sebaliknya ia hanyalah satu perpindahan yang akan dialami setiap manusia. Kematian merupakan pemisah antara kedua-dua kehidupan ini.

Ia bukanlah sebagai kehancuran dan kebinasaan yang terus bagi manusia dalam erti kata lain ia berakhir tanpa ada kehidupan lain selepasnya. Kehidupan yang dimaksudkan tersebut adalah kehidupan di alam akhirat yang terdapat satu alam di antara keduanya iaitu alam barzakh. Di alam barzakh inilah terdapatnya nikmat dan azab kubur yang akan ditempuhi oleh setiap manusia.


Apa Itu Alam Kubur?(Barzakh)

Setelah seseorang manusia itu mengakhiri hidup mereka di alam dunia ini iaitu telah mati, maka untuk seterusnya ialah dikuburkan dan akan mengalami perpindahan ke alam lain iaitu menempuh kehidupan alam kubur (barzakh). Alam ini jauh lebih luas dan besar dari alam dunia, bahkan perbandingan antara kedua-dua alam ini sama dengan perbandingan antara alam dunia dengan alam kandungan ibu. dalam istilah ilmu pengetahuan moden, alam ini dikenali sebagai alam metafizika.

Di dalam alam kubur ini telah ditiupkan gambaran hakikat kehidupan yang akan diterima di Akhirat nanti. Jika seseorang itu termasuk dikalangan insan yang ingkar, maka di alam kubur ini akan diseksa dengan kepedihan sebaliknya seseorang yang tergolong di kalangan org yang soleh, maka akan merasai kenikmatan dan kebahagiaannya. kepedihan yang dihadapi itulah disebut sebagai azab kubur manakala kebahagiaan yng dirasai oleh orang-orang yang soleh pula adalah nikmat kubur..

bersambung....

Wednesday, June 21, 2006

Sedikit Peringatan..


Tanda-tanda takut kepada Allah itu kelihatan di dalam 7 perkara :-

Pada lisan – Menghindarkan diri daripada berdusta, mengumpat, fitnah, lagha. Manusia dituntut supaya berzikir, membaca al-Quran dan bermuzakarah secara keilmuan


Pada hati- Membuang rasa permusuhan, kebodohan, dengki sesame Muslim. Ianya tiada ubat melainkan ilmu dan amal.

Pandangan- Tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian dan hal-hal yang haram serta tidak terpikat pada dunia. Maksud sabda Rasulullah SAW: “ barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara-perkara yang haram maka Allah akan memenuhinya daripada api, pada hari Kiamat

Pada perut- Tidak diisi dengan sesuatu yang haram. Sabda Nabi: “ Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke dalam perut seseorang, maka seluruh malaikat di bumi dan di langit melaknatinya selama sesuap makanan dan seteguk minuman itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian maka tempatnya ialah neraka”.

Pada tangan- Tidak digunakan pada perkara-perkara yang haram.

Pada kaki- Tidak digunakan pada tempat-tempat maksiat.

Taat- menjadikan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dengan menghindari riyak serta munafiq

Monday, June 19, 2006

RASMI


BismillahiRahmaniRahim..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Dengan izin Allah yang Maha Esa dapatlah saya menambah satu lagi blog saya pada masa ini dengan tujuan mahu menambah ilmu pengetahuan dan menjadikan ia ingatan dan sedikit panduan kepada rakan-rakan. Segala nukilan akan dipetik daripada bacaan-bacaan dan kuliah-kuliah yang pernah dihadiri serta sedikit pendapat atau pegangan diri sendiri yang memerlukan sokongan rakan-rakan yang lebih expert dan berpengetahuan lebih baik :)

Semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu dan mengisi masa lapang daripada terbuang tanpa faedah..wassalam..